NGO Islam, Pas sokong penuh pemecatan Eric Paulsen dalam MPKM

0
148

CYBERJAYA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan NGO-NGO Pembela Islam (Pembela) dan Parti Islam Malaysia (Pas) memuji langkah kerajaan menarik semula pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Tindakan itu disifatkan sebagai kerajaan hari ini bertindak atas asas rasional dan prihatin kepada suara rakyat.

Presiden Pembela, Aminuddin Yahaya dalam kenyataannya di laman Facebook Pembela hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana proaktif mendengar desakan dan kegusaran rakyat dalam isu itu.

“Alhamdulillah, Eric Paulsen bukan lagi ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM). Tahniah dan terima kasih kepada semua NGO yang telah bangkit mendesak dan menekan.

“Walaubagaimanapun, jangan kita lupa dan terleka, Eric Paulsen masih lagi menjawat jawatan sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR),” katanya.

Sehubungan itu, Aminuddin mendesak agar kerajaan mempertimbangkan ‘posisi’ itu diganti dengan orang yang lebih berkelayakan.

“Kita bimbang fitnah-fitnah dan cerita-cerita palsu mengenai hak asasi manusia di pentas antarabangsa lebih-lebih lagi atas kapasiti beliau yang dilantik sebagai wakil Malaysia ke AICHR.

“Kami, pihak NGO-NGO akan terus memantau perjalanan kerajaan dan menegur segala apa yang tidak kena terutamanya dalam lantikan-lantikan yang sedia ada dan yang akan datang,” ujar beliau.

Beliau juga menyatakan keterbukaan untuk bertemu dengan Perdana Menteri untuk sama-sama memperjuangkan kepentingan rakyat negara ini mengikut perlembagaan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari turut menyokong tindakan kerajaan yang disifatkan prihatin dan tepat pada masanya.

“Terima kasih Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Menteri berkaitan yang prihatin dengan kebimbangan kami.

“Alhamdulillah, kebimbangan kami dirasai dan diberikan perhatian yang sangat pantas.

“Rakyat sayang kerajaan ini,” tulisnya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli mengajak umat Islam menyatakan bantahan terhadap pelantikan Eric kerana Eric terkenal dengan kelantangan mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, kementerian mengatakan ketiadaan Eric tidak akan mempengaruhi fungsi MPKM, yang dibentuk pada 9 Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here