Notis kebenaran jualan arak dalam surat khabar sangat mengecewakan

0
207
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya terkejut apabila terdapat lebih 40 notis permohonan menjual arak disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu hari ini tanpa menghiraukan arahan Menteri Wilayah Persekutuan untuk membekukan lesen penjualan arak.

Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan perlu bertindak segera bagi mengelakkan arak dijual secara berleluasa.

“Kita tidak pasti apakah ini satu bentuk ‘respon’ terhadap gelombang anti industri penjualan arak atau hanya satu kebetulan sahaja.

“Tetapi apa yang pasti ialah tindakan drastik perlu diambil dengan cepat oleh semua pihak, termasuk pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan membekukan semua aktiviti membabitkan pengeluaran dan penjualan arak berikutan kekerapan berlakunya kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, pihaknya juga bersedia membantu kerajaan dalam merangka strategi bagi menjadikan negara ke arah sifar alkohol.

“Kita berpendapat bahawa membekukan pengeluaran lesen penjualan arak sehingga sesuatu tempoh seperti yang dicadangkan menteri adalah tidak cukup. Mungkin perlu mempertimbangkan agar tidak mengeluarkan langsung lesen-lesen baru sebagai langkah awal yang berperingkat ke arah negara sifar alkohol.

“Insya-Allah, kami pihak NGO-NGO akan bersidang bagi merangka strategi dan pelan tindakan dalam isu ini.

“Malah, kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak kementerian untuk menjayakan agenda ini sebagaimana kami bekerjasama dengan pihak Kementerian Wilayah memanteras aktiviti-aktiviti haram dalam Ops Banteras Aktiviti Haram satu ketika dahulu yang malangnya terhenti pada zaman ‘Malaysia Baharu’,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here