P.Pinang ikut Pusat laksana PKPP esok

0
174
CHOW KON YEOW

CYBERJAYA – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menolak dakwaan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Yaakob bahawa kerajaan negeri itu  tidak mematuhi untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok.

Beliau berkata, apa dipraktik serta dilaksanakan oleh kerajaan negeri tidak pernah atau tidak sama sekali melanggari akta atau undang-undang yang diperuntukan oleh Kerajaan Pusat.

Menurut beliau, melalui kenyataan media pada 7 Jun lalu pukul 7.13 petang jelas menyatakan bahawa Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP sebagaimana diumumkan Perdana Menteri.

“Ia adalah sejajar dengan usaha mencapai keseimbangan antara kesihatan awam dengan kehidupan rakyat, pembukaan secara berperingkat sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan serta keagamaan ke arah mencapai normalisasi pasca Covid-19.

“Menerusi kenyataan tersebut juga telah dinyatakan bahawa mesyuarat JKKN yang berlangsung hari ini akan meneliti pelaksanaan PKPP di Pulau Pinang, yang mana keputusannya akan diumumkan pada hari sama untuk rujukan lanjut semua pihak di negeri ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung akaun Facebook miliknya yang dipetik Buletin Mutiara hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dalam sidang akhbar hariannya hairan dengan keputusan yang mahu diambil oleh Pulau Pinang untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana akta dibawah PKPB akan terbatal esok.

Terdahulu, pada Ahad lalu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneruskan PKPB sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan berhubung pelaksanaan PKPP.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan baharu yang dimuat naik dalam laman Facebook Ketua Menteri Pulau Pinang itu, beliau memaklumkan bahawa Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP seperti diumumkan Perdana Menteri.

Dalam pada itu Kon Yeow memberitahu, kerajaan negeri mengikuti langkah kerajaan melaksanakan PKPP sepenuhnya esok bagi sektor perniagaan dan ekonomi di seluruh negeri sejajar pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat sejurus Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang diadakan pagi tadi.

Menurut beliau, sektor yang berada dalam senarai kategori dilarang sebelum ini akan dibuka secara berfasa tertakluk kepada pengumuman yang bakal dibuat oleh Kerajaan Pusat dari semasa ke semasa.

“JKKN akan mengetuai Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Negeri berhubung pelaksanaan tujuh Teras Strategi PKPP serta Fasa Normalisasi yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru-baru ini dan dilaksanakan di peringkat negeri secara terselaras serta bersepadu.

“Tujuh strategi berkenaan adalah meliputi, kumpulan kerja pengukuhan kesihatan awam; pengukuhan kawalan sempadan; pemerkasaan tanggungjawab komuniti; pembudayaan kebiasaan baharu; perundangan dan penguatkuasaan; pembukaan sektor ekonomi dan perlindungan golongan berisiko,” ujarnya.

Kon Yeow turut menyeru rakyat Pulau Pinang terus berdisplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa mengamalkan amalan 4P iaitu penjarakan sosial, pakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sabun dan perhatikan gejala Covid-19 pada diri sendiri dan orang sekeliling. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here