
CYBERJAYA – Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej itu telah mengurangkan bebanan aliran tunai hampir 11 juta rakyat Malaysia serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.
“Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan kerajaan berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan bebanan aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta beri sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.
“Pelaksanaan Pakej Prihatin masih berterusan sehingga kini walaupun sektor ekonomi telah dibuka tapi kita bersyukur wabak Covid-19 masih terkawal,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri berhubung Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek hari ini.
Muhyiddin berkata, sehingga kini tiada peningkatan mendadak kes.
Katanya, ia berikutan majikan, peniaga, pekerja dan pelanggan di premis perniagaan rata-ratanya mematuhi garis panduan dan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.
“Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur pada Mei lalu.
“Mengikut data sebelum ini, kadar pengangguran negara di paras 3.9 peratus atau lebih 610,000 penganggur pada Mac lalu.
“Dengan mengambil kira situasi mencabar ini, ekonomi negara dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan penularan wabak Covid-19,” katanya.