Peluang bangunkan ekonomi bumiputera pasca PKP

0
239
peniaga PKS

CYBERJAYA – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mahu kerajaan tidak melupakan kepentingan pembangunan ekonomi bumiputera dan menolak ‘suara-suara’ yang tidak mahu kerajaan memainkan peranan utama agenda itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan Perikatan Nasional perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi bumiputera untuk mengimbangi penguasaan ekonomi rakyat pelbagai kaum khususnya pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, agenda bumiputera perlu terus diperjuang untuk memastikan kemakmuran dan pembangunan dapat dikecapi bersama secara adil dan saksama.

“Wabak ini menyebabkan kelembapan ekonomi yang mewujudkan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat bertambah ketara.

“Orang melayu dan bumiputra adalah yang akan paling terkesan dengan keadaan ini. Oleh itu MTEM menyarankan kerajaan untuk bertindak dengan berani supaya keadaan ini tidak berlarutan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahmad Yazid berkata, keupayaan menangani penularan wabak Covid-19 dengan baik membuktikan kemampuan kerajaan menggunakan polisi pentadbiran.

“Hari ini terbukti kerajaan Malaysia diiktiraf dunia berjaya mengawal wabak ni dengan cukup membanggakan.

“Justeru kerajaan hari ini juga wajar mengambil sikap dan strategi yang sama dalam pembangunan ekonomi negara dengan pembaharuan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan kerana kedudukan ekonomi kaum bumiputera pada masa kini masih jauh daripada tahap yang diharapkan.

“Mengikut data terkini, kebanyakan bumiputera adalah golongan pekerja dan pengguna. Justeru, mereka bukan majikan atau penjana pekerjaan; bukan pembuat dan bukan juga penjana peluang untuk pembekal dan bukan pemain perusahaan kecil dan kesederhana.

“Pendek-kata, bumiputera tidak banyak menghasilkan nilai tambah pada ekonomi Malaysia kecuali dalam bidang pekerjaan. Tidak banyak nilai-tambah dalam sektor perniagaan dan pelaburan,” katanya.

Menurut Ahmad Yazid, dari segi pendapatan kasar (GOS) perniagaan dan pelaburan, kaum bumiputera pada tahun 2014 hanya menyumbang RM124 billion berbanding RM397 bilion oleh kaum bukan bumiputera.

Justeru katanya. MTEM berharap Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dijadikan usaha pemulaan untuk mengenal pasti hala tuju baharu agenda bumiputera.

“Kita sarankan kerajaan mengambil langkah radikal berlandaskan WKB 2030 kalau benar mahu mengubah ekonomi negara dan pencapaian ekonomi orang melayu dan bumiputera.

“Fasa ‘reform & revitalise’ yang dicanang oleh Kementerian Kewangan perlu digerakkan dengan naratif WKB2030. Kita tidak boleh tidak mensia-siakan peluang untuk merapatkan jurang kekayaan dan penguasaan ekonomi bumiputera,” katanya.

Tambah beliau, beberapa pekara dalam dokumen WKB 2030 sedia ada perlu dikemas kini kerana sasaran Ekonomi Bumiputera dirasakan tidak lengkap atau belum cukup.

“Jika tidak diperhalusi, strategi ekonomi ini akan menjadi tidak bermakna malah menjadi sebuah retorik apatah lagi jika ia sepatutnya menjadi strategi utama untuk kepentingan ekonomi Melayu dan bumiputera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here