Pemandu mabuk: Melihat kesatuan wakil rakyat sokong pindaan APJ 1987

0
284
Kemalangan maut melibatkan seorang penghantar makanan yang dilanggar pemandu kereta dipercayai berada dibawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ibu negara awal pagi tadi. – Gambar Media Sosial

SETIAP kali musim perayaan akan ada berlaku kemalangan terutama melibatkan kemalangan maut di jalan raya yang mengundang rasa sedih masyarakat. 

Namun perayaan Aidilfitri tahun ini agak berbeza tentang isu kemalangan di jalan raya. Kali ini lebih kepada sikap pemandu yang dibawah pengaruh alkohol atau lebih tepat pemandu mabuk.

Masih ramai lagi mengingati seorang anggota polis maut dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Kajang dalam tragedi ketika umat Islam sedang berpuasa.

Ingatkan sudah habis di situ sahaja kali ini dikejutkan pula satu lagi kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang memandu melawan arus sehingga merempuh kenderaan dipandu oleh pekerja sebuah syarikat pembersihan.

Keadaan itu membuatkan rakyat tidak senang duduk. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersuara supaya kerajaan bertindak segera terhadap isu itu. 

Mereka menyifatkan pemandu mabuk ini sudah tidak boleh dikawal. Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 perlu dipinda bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka sehingga membawa maut kepada mangsa.

Nampaknya kerajaan dengar suara rakyat. Kementerian Pengangkutan telah bertindak manakala Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pindaan itu dijangka selesai pertengahan Jun ini sebelum dibawa ke sidang Parlimen Julai nanti.

Cuma satu yang akan menjadi persoalan pada sidang Parlimen itu, adakah kesemua wakil rakyat akan bersetuju tentang pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepertimana pindaan had umur pengundi yang layak mengundi pada pilihan raya nanti.

Dalam soal ini, semua wakil rakyat kena bersatu hati. Ini isu rakyat. Isu keselamatan pengguna jalan raya. Jika tiada tindakan maka sia-sia sahaja gesaan rakyat dan NGO supaya tindakan diambil terhadap pemandu mabuk.

Soal keselamatan di jalan raya tidak boleh dipandang ringan. Jalan raya menjadi alat penghubung ke mana-mana destinasi. Jika isu ini dipandang sepi maka keselamatan di jalan raya akan menghantui penggunanya.

Diharap Julai ini menjadi penentu bagaimana wakil rakyat bersatu dalam memerangi isu pemandu mabuk. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here