Pembayaran balik GST dibuat minggu depan

0
319
Tengku Zafrul


CYBERJAYA – Kerajaan akan melakukan pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tertangguh bermula minggu hadapan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berikutan itu beliau telah meminta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mempercepatkan proses pembayaran tersebut.

“Pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun ini dan pembayaran kepada semua penuntut dijangka akan selesai dibuat selewat-lewatnya pada akhir bulan Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan JKDM untuk mempercepatkan pemprosesan bayaran balik GST yang tertangguh akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana audit syarikat tidak dapat dibuat. 

“Kementerian Kewangan bersetuju untuk JKDM melaksanakan kaedah “bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih” berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan juga kriteria tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan berharap keputusan itu dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan di dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini.

Katanya lagi, usaha itu selaras dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here