Pembela gesa beku dan tarik balik lesen arak di Selangor

0
289

SHAH ALAM – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa kerajaan negeri Selangor membekukan permohonan baharu lesen penjualan arak dan menarik balik semua lesen penjualan arak sedia ada.

Naib Pengerusi Pembela, Masridzi Sat berkata, tindakan berkenaan bagi mengelak penjualan arak tidak dibuat secara terbuka dan disalahgunakan oleh pembeli terutamanya memandu dalam keadaan mabuk di jalan raya.

Katanya, Pembela juga mahu kerajaan negeri Selangor menarik balik semua lesen kebenaran kilang-kilang pembuatan arak yang menjadi punca kepada kemalangan, jenayah dan kerosakan di Selangor dan Malaysia.

“Semua tahu, Selangor adalah antara negeri pengeluar arak yang terbesar di mana tiga kilang arak telah beropersi begitu lama iaitu kilang Heineken di Petaling Jaya, Guiness di Sungai Way, dan Carlsberg di Shah Alam.

“Gesaan Pembela ini juga berasas kerana sebelum ini Exco Selangor telah memaklumkan bahawa tiada larangan minum arak di tempat awam di negeri berkenaan. Jadi kita mahu bekukan lesen dan tarik balik lesen sedia ada.

“Dalam masa sama, kita mahu kerajaan negeri Selangor memberikan pembelaan kebajikan sara hidup dan keadilan undang-undang untuk keluarga mangsa yang cedera dan terkorban akibat pemandu mabuk,” katanya.

Terdahulu, Masridzi bersama wakil-wakil Pembela termasuk Ketua Prasarana Kempen BMF Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Nor Izzat Johari menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor.

Menurut Masridzi, Pembela berharap kerajaan negeri dapat membebaskan Selangor daripada bencana arak kerana dalam hadis nabi ia disebut ‘ibu segala kejahatan’ yang merosakkan akal, moral.

Selain itu katanya, Pembela juga menggesa kerajaan negeri meminda akta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain akta yang berkaitan agar arak tidak boleh diminum dan dijual secara terbuka kepada sesiapa sahaja.

“Sekiranya gesaan ini tidak diendahkan kami akan turun lebih ramai lagi untuk mendesak kerajaan negeri memenuhi permintaan Pembela. Kita juga akan bergerak ke setiap negeri untuk menuntut perkara yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Pembela juga mendesak agar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong agar meminda undang-undang mandatori hukuman mati yang tegas kepada pemandu mabuk yang menjadi pembunuh di jalan raya.

“Tiada kompromi dan jangan memberi kenyataan yang berbelit-belit seolah-olah cuba melindungi penjenayah dengan tidak mempedulikan nasib mangsa, keluarga serta majoriti Melayu Islam yang marah dan sensitif dengan jenayah pemandu mabuk ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here