Pembukaan gimnasium dibenarkan namun perlu ikut SOP

0
309
Pembukaan gimnasium dibenarkan namun perlu ikut SOP. Foto Internet.

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula gimnasium, dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker, dan pusat-pusat sukan lain bermula 15 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, operator kompleks atau pusat sukan perlu mengisi borang notifikasi pembukaan terlebih dahulu melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan prosedur operasi standard (SOP) dan untuk tujuan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Borang notifikasi boleh diakses bermula hari ini. Mesyuarat juga bersetuju untuk memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan di dalam atau luar dewan bermula 15 Jun ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Beliau menambah, bagi sukan individu kebenaran ini perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu hingga tiga meter untuk aktiviti statik seperti angkat berat, berlari atas treadmill.

Kata beliau, bagi aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak, hoki dan ragbi perlu mematuhi jarak antara tiga hingga lima meter

Ismail Sabri

“Bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring dan sukan tempur/kombat seperti karate, taekwondo, silat dan sebagainya, keputusan mesyuarat masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, ia dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa sentuhan badan dengan penjarakan sosial tiga hingga lima meter antara seorang dengan seorang yang lain semasa latihan.

“Adalah diingatkan bahawa penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan sukan masih kekal tidak dibenarkan lagi untuk fasa ini bagi mengelakkan perhimpunan ramai.

“Aktiviti sukan air di kolam renang juga masih kekal tidak dibenarkan. Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan akan berbincang dan menyelaraskan SOP yang lebih terperinci sebelum membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat empat perkara dalam senarai larangan sektor sukan dan rekreasi fasa ini.

“Tiada penganjuran sebarang kejohanan dan pertandingan; tiada aktiviti sukan dan rekreasi yang bersentuhan badan.

“Tiada permainan atau perlawanan bagi sukan berpasukan dan sukan tempur/kombat (seperti bola sepak, hoki, taekwondo, silat dan sebagainya) serta tiada aktiviti dalam kolam renang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here