Pemuda Isma tetap bantah jual arak secara terbuka

0
248
Arifin Manan menyampaikan sumbangan kepada Zahlawati Zahlan, balu kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed yang maut dilanggar pemandu mabuk di Kuala Lumpur hari ini.

CYBERJAYA – Nasib isteri mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk di Lebuh Raya Sultan Iskandar di ibu negara terus mendapat perhatian apabila sayap Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pemuda Isma, Arifin Manan yang mengunjungi kediaman Zahlawati Zahlan hari ini.

Menurut Arifin, beliau bersimpati dengan nasib yang dialami Zahlawati dan pihaknya akan terus memperjuangkan isu arak di negara ini.

“Saya telah mengarahkan semua ahli Pemuda Isma di setiap cawangan untuk bersama penduduk setempat membantah jualan arak secara terbuka dan membentuk pasukan kajian serta pendesak agar kerajaan bertegas dalam meminda akta berkaitan arak.

“Isu arak adalah isu semua merentasi sempadan agama dan kaum. Hanya yang bertuhankan nafsu yang menyokong industri arak,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam kejadian pada 1 Jun lalu, seorang penghantar makanan, Mohamed Zaili Mohamed yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas dilanggar kenderaan yang dipandu pemandu mabuk di lebuh raya berkenaan.

Sehubungan itu, Zahlawati bersama peguamnya mahu pemandu mabuk yang menyebabkan kematian suaminya didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati berbanding tuduhan asal sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here