Penarik beca rayu kerajaan negeri bela nasib

0
170

GEORGE TOWN – Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang merayu kerajaan negeri untuk membantu ahlinya yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.


Pengerusinya, Abdul Latiff Mohd berkata, pihaknya menyeru Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan pekerjaan sementara, kepada golongan penarik beca berdaftar yang terjejas dalam tempoh pandemik itu, berikutan mereka sudah putus sumber kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.


“Kami sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan seperti tukang sapu, asalkan periuk nasi kami terisi,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.


Memetik laporan Bernama, Abdul Latiff berkata, sejak penularan pandemik tersebut, pendapatan yang diperoleh adalah sekitar 20 peratus dan situasi tersebut mengakibatkan sesetengah penarik beca terpaksa berteduh di dalam beca, kerana tidak mampu membayar sewa rumah mahupun sewa bilik.

“Walaupun pihak kerajaan ada menyalurkan sumbangan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM500 secara ‘one-off’ dan elaun mingguan sebanyak RM20, namun sebagai penarik beca yang kais pagi makan pagi, kehidupan seharian yang dihadapi agak susah.

“Jadi, kami amat mengharapkan pihak kerajaan negeri untuk membela nasib kami,” katanya.


Dalam pada itu, Presiden Komuniti India Muslim Malaysia (IMCom) Mohd Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, situasi yang dihadapi golongan penarik beca tersebut bukan sahaja menjejaskan industri pelancongan negeri ini, malah akan memberi kesan negatif ke atas kesihatan penarik beca, yang rata-ratanya terdiri daripada warga emas sehingga ada dalam kalangan mereka menjadi gelandangan.


“Kami berharap kerajaan negeri akan mempertimbang dan memperhalusi cadangan ini, agar nasib golongan penarik beca terbela kerana kebanyakan mereka adalah golongan warga emas, yang sudah puluhan tahun berkhidmat sebagai penarik beca.


“Kita juga tidak mahu warisan dan tarikan ini terkubur begitu sahaja,” katanya.
Seorang penarik beca, Bakri Abdullah, 67, berkata, keprihatinan kerajaan negeri dalam memperhalusi cadangan tersebut akan meringankan beban yang ditanggung oleh penarik beca, yang tidak mempunyai pendapatan tetap, tambahan pula kehadiran pelancong luar dan dalam negara, telah berkurangan.
“Saya juga tidak akan menolak jika kerajaan negeri menawarkan sebarang pekerjaan selama tempoh sukar ini, kerana kehidupan kini begitu mendesak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here