
CYBERJAYA – Perkhidmatan e-hailing dan teksi dibenarkan beroperasi tanpa had masa dan kapasiti penumpang juga mengikut kapasiti kenderaan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dicapai selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) membentangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pengangkutan awam kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini.
Menurutnya, penggunaan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan proses mengesan kontak dan pembayaran tambang mengikut kaedah tanpa tunai dalam pengangkutan awam amat digalakkan.
“Penumpang dan pemandu juga diwajibkan memakai topeng muka ketika menaiki kenderaan e-hailing,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKPP hari ini.
Pada masa sama Ismail Sabri memaklumkan mesyuarat itu juga bersetuju untuk membenarkan bas ekspres beroperasi dengan kapasiti penuh dan tanpa had masa.
“Pengusaha bas ekspres perlu mendaftar penumpang-penumpang mereka melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.
“Penumpang termasuk pemandu bas ekspres perlu memakai topeng muka pada setiap masa.
“Pengusaha bas perlulah memeriksa suhu badan penumpang sebelum menaiki bas dan menyediakan topeng muka kepada mereka yang tiada serta mensanitasi bas selepas setiap perjalanan,” jelasnya.
Selain itu, kata Ismail Sabri, pengangkutan awam seperti bas awam, feri, keretapi, keretapi aliran ringan dan lain-lain boleh beroperasi dengan kapasiti penuh.
“Bagi yang membenarkan penumpang untuk berdiri, penumpang perlu mengamalkan kawalan kendiri penjarakan sosial.
“SOP yang ditetapkan perlu dipatuhi pada setiap masa termasuk memakai topeng muka, memuat turun aplikasi MySejahtera dan penggunaan pencuci tangan” katanya.
Sementara itu, pesawat penerbangan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.
“Suhu penumpang perlu direkodkan terlebih dahulu dan diwajibkan untuk memakai topeng muka, “katanya.
Tambah Ismail Sabri lagi, kenderaan persendirian kini dibenarkan membawa penumpang yang bukan daripada keluarga yang sama dan mengikut kapasiti kenderaan.
Namun, katanya, mereka perlu memakai topeng muka di dalam kenderaan.-MBNews