Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk

0
1000
Motosikal mangsa terperosok di bawah kereta selepas diseret sejauh dua km.

CYBERJAYA – Seorang penghantar makanan yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut selepas dilanggar oleh sebuah kereta yang dipercayai dipandu oleh seorang lelaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara pada awal pagi ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed berumur 44 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.

Beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berumur 21 tahun dari arah belakang.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Suspek memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu setelah ditahan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here