
CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, saranan penjarakan sosial dan mengelak berada dalam ruang yang sempit dan sesak bukan terbukti menurunkan kes Covid-19, malah turut menyebabkan penurunan penyebaran penyakit berjangkit lain di negara ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, amalan penjarakan sosial yang diamalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu hingga empat dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan Covid-19 turut menyebabkan kadar jangkitan penyakit yang disebar melalui sentuhan menurun.
Menurutnya, perbandingan analisalis wabak daripada minggu epid pertama sehingga minggu epid ke-22 tahun 2019 dan 2020 mendapati terdapat penurunan kes yang ketara bagi beberapa penyakit berjangkit.
“Terdapat penurunan 44. 6 peratus penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) manakala demam campak (measles) menunjukkan penurunan kes sebanyak 58.3 peratus.
“Penyakit cacar air (chickenpox) pula menyaksikan penurunan kes sebanyak 44.4 peratus, “katanya.
Dr. Noor Hisham berkata, penurunan kes-kes ini adalah merupakan satu implikasi positif hasil pelaksanaan PKP dan PKPB turut dibantu oleh amalan kebersihan kendiri yang tinggi.
“Namun demikian, dalam keadaan situasi wabak Covid-19 ini, dikhuatiri terdapat juga penurunan dalam kadar imunisasi bayi dan kanak-kanak.
“Ini mungkin kesan ibu bapa yang risau untuk membawa anak kecil keluar daripada rumah untuk ke klinik,” katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan ibu bapa supaya memberikan imunisasi kepada anak-anak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin.
“Perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak adalah masih diteruskan seperti biasa di Klinik Kesihatan.
“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan untuk mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang telah ditetapkan,” katanya.-MBNews