
CYBERJAYA – Para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan semula selepas ditutup berikutan penularan Covid-19 akan menjalani pemeriksaan suhu badan dan makan di dalam kelas pada waktu rehat yang merupakan antara kebiasaan baharu bakal diamalkan.
Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, pemeriksaan suhu badan merupakan garis panduan dilakukan oleh guru setibanya pelajar di pintu pagar sekolah dan jika mereka bergejala tindakan selanjutnya akan diambil.
“Kita juga sedar pelajar ini kadang-kadang ke sekolah berjalan kaki, ada yang naik basikal dan suhunya tinggi sedikit daripada 37.5 darjah celsius…pelajar ini akan diminta berehat dahulu bagi memastikan suhu badan mereka kembali normal dan suhu diperiksa sekali lagi.
“Setiap sekolah juga memang kena ada bilik isolasi iaitu jika pelajar menunjukkan sebarang gejala maka mereka akan dibawa ke sini dan pihak sekolah selain menghubungi ibu bapa, juga akan berhubung dengan Pusat Kesihatan berdekatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dipetik agensi berita Bernama.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Semenyih, baru-baru ini.Â
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Mohd. Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Habibah Abdul Rahim.
Kebiasaan baharu itu antara kandungan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian itu hari ini.
Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu beliau meminta ibu bapa tidak perlu bimbang Sementara mengenai aspek penjarakan sosial ketika anak mereka di kantin memandangkan waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan mereka perlu makan di dalam kelas masing-masing.
“Pelajar perlu membeli makanan berbungkus dan mereka akan beratur mengikut garisan ditetapkan dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebelum pulang ke kelas masing-masing untuk makan.
“Jadi, keadaan di kantin lebih tersusun dan ibu bapa tidak perlu risau anak-anak berebut ke kantin kerana masa rehat akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan tidak semua pelajar berkerumun di kantin dalam satu-satu masa tertentu…kita akan menjarakkan waktu rehat,” katanya.
Mohd. Radzi berkata, bagi memastikan penjarakan sosial antara pelajar terjaga, susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak satu meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.
Tambah beliau, kedudukan pelajar di dalam makmal juga dijarakkan bagi membolehkan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.
Mengenai pergerakan pelajar dalam kawasan sekolah, Mohd. Radzi menyatakan arah laluan pelajar akan ditanda dengan anak panah bagi mengelak pertembungan berlaku.
Selain itu ujarnya, guru juga tidak perlu khuatir kerana mengikut garis panduan yang dikeluarkan, keselamatan dan kesihatan mereka turut diutamakan oleh kementerian.