Perjalanan rentas negeri kembali dibenarkan, terima kasih petugas SJR

0
287
Petugas SJR bersama seekor kucing yang sentiasa berkawal bersama mereka

CYBERJAYA – Bermula pukul 12 tengah malam tadi perjalanan rentas negeri yang sebelum ini dilarang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan dilakukan semula.

Kebenaran tersebut yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perintah baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir pada pukul 11.59 malam, semalam.

Orang ramai menerusi laman sosial rata-ratanya menarik nafas lega dan sudah mula berkira-kira untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tertangguh berikutan pelaksanaan PKPB.

Malah, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut menjangkakan jumlah trafik harian bakal melonjak sehingga 15 peratus mulai hari ini susulan keputusan kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh PKPP.

Dalam sidang akhbar harian oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau turut mengumumkan bahawa kawasan rehat dan rawat (R&R) dan surau di lebuh raya akan dibuka sekali gus memudahkan orang ramai melakukan perjalanan jauh.

Sementara itu, sempena hari terakhir PKPB, laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memuat naik satu foto pilihan petugas barisan hadapan yang menjaga sekatan jalan raya (SJR) bersama seekor kucing yang sebelum ini menjadi peneman setia mereka ketika bertugas.

“Ini mungkin potret terakhir yang sempat kami rakamkan bersama ‘Si Dia’.

“Jika ada ‘jodoh’ di lain waktu, mungkin kami dapat bertemu lagi untuk sama-sama menjaga pertiwi yang tercinta.

“Terima kasih dan salam sayang dari kami buat ‘Si Dia’,” katanya sambil merujuk sumber gambar tersebut diambil daripada Dunia Kucing Group.

Dengan berakhirnya SJR semalam maka secara automatik tempoh berkurung selama 85 hari rakyat Malaysia juga berakhir dan diganti dengan PKPP sehingga 31 Ogos ini.

Sekiranya dalam tempoh ini tiada sebarang kes baharu Covid-19, Malaysia boleh mengikut jejak New Zealand yang mengumumkan bebas daripada wabak tersebut kelmarin.

Namun, sekiranya keadaan sebaliknya berlaku, kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan ‘lockdown’ di kawasan terlibat. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here