
CYBERJAYA – Perlis memutuskan untuk menambah bilangan jemaah mendirikan solat fardu dan Jumaat di negeri itu mengikut keluasan maksimum kapasiti masjid bermula Jumaat ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, aktiviti lain seperti ceramah dan kuliah belum boleh diadakan, sebaliknya dibuat secara dalam talian serta dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
“Solat jenazah masih boleh dilaksana di masjid dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial yang ditetapkan.
“Begitu juga pelaksanaan ibadah korban dan seumpamanya adalah dibenarkan dengan penjagaan SOP yang bakal dihebahkan dalam masa terdekat,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Baginda bertitah, masjid masih tertakluk mengikut mekanisma pemilihan jemaah yang akan ditentukan Jawatankuasa Kariah Masjid dengan mengambil kira lokaliti setempat dalam sesuatu kariah.
“Jemaah yang tidak terpilih perlu akur kepada pemilihan dan jumlah maksimum jemaah adalah seperti dikenalpasti JAIPs melalui hebahan yang bakal dibuat dalam masa terdekat.
“Demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan bersama, jemaah yang dibenarkan hadir hendaklah melengkapi syarat seperti berusia antara 18 hingga 59 tahun, tidak bergejala, tiada sejarah penyakit berisiko dan tidak pernah ke kawasan zon merah wabak Covid-19,” titah baginda.
Baginda bertitah, syarat-syarat lain dan SOP ketika pelaksanaan solat di masjid masih dikekalkan seperti mana pelaksanaan sebelum ini.
“Ini adalah termasuk mewajibkan pemeriksaan suhu terhadap jemaah, penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter, memakai pelitup muka, berwuduk di rumah dan tidak melakukan sebarang kontak fizikal.
“Tempoh maksimum bagi perlaksanaan solat Jumaat adalah selama 15 minit manakala solat fardu selama 10 minit,” titah baginda.