Pernafasan suspek mengandungi alkohol melebihi had

0
122

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Polis mengesahkan pernafasan suspek yang melanggar mati seorang pembonceng motorsikal di Lebuhraya Sultan Iskandar dalam kejadian awal pagi tadi mengandungi alkohol yang melebihi had.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu pemandu yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri dengan cara mengelakkan diri daripada memandu kenderaan sekiranya mabuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian awal pagi ini, mangsa yang juga penghantar makanan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here