Pesakit meninggal di rumah positif Covid-19, wujud kluster baharu

0
1072
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kluster baharu Covid-19 berikutan kematian seorang pesakit di rumahnya di Sabah pada minggu lalu yang merupakan kes kematian ke-120, iaitu kes ke 8,403.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, warga emas yang meninggal dunia di rumahnya pada 12 Jun lalu akibat komplikasi jantung itu didapati positif Covid-19.

“Saringan Covid-19 telah dijalankan dan arwah didapati positif. Sebelum ini arwah telah mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth 2.

“Aktiviti saringan kontak rapat telah dijalankan dan didapati dua kakitangan wad positif Covid-19,” katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 63 individu merangkumi 21 anggota kesihatan, dua pesakit serta 40 ahli keluarga dan rakan kepada mangsa telah dikenal pasti serta disaring.

“Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di semua tempat yang dikenal pasti terdedah termasuk di wad dan rumah arwah,” katanya.

Menurutnya punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan dan Hospital Queen Elizabeth 2 masih beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, bagi kluster rumah jagaan warga emas Kuala Selangor, terdapat tujuh kes Covid-19 dikesan setakat ini.

“Pusat ini masih beroperasi seperti biasa dan penghuni telah dikuarantin di pusat ini. KKM akan terus memantau keadaan kesihatan penghuni rumah jagaan warga emas itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here