PKPB berakhir, diganti PKPP bermula Rabu ini

0
272
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir Selasa ini akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri berkata, PKPP itu yang akan bermula pada Rabu ini akan berakhir pada 31 Ogos ini.

“Dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada semua untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh PKPP itu hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

Beliau berkata, ia termasuk perkhidmatan gunting rambut dan salun, pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, ‘food truck’ dan gerai makan.

“Selain itu, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan.

“Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, ‘indoor busking’, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, dalam kategori sukan pula, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP.

Katanya, ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

“Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

“Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here