
Hari ini adalah hari terakhir bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan digantikan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai esok yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau lebih dikenali sebagai ‘Abah’ oleh warga maya pada baru-baru ini.
Warga maya menyatakan, walaupun ‘Abah’ sudah mengumumkan pekara yang gembira, orang awam yakin bahawa Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau warganet mengelarkan sebagai ‘Pak Long Mail’ pasti akan menyatakan macam-macam prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan yang dijalankan oleh pihaknya sebagai Menteri Kanan (Keselamatan).
Bukan itu sahaja, malah warga maya turut menyatakan mungkin ada lagi nasihat dari ‘Pak Ngah Hisham’ atau Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bagi pelaksanaan PKPP dan langkah yang perlu diambil oleh orang awam bagi memastikan Covid-19 dapat ditangani.
Namun apa pun yang ‘Abah’, ‘Pak Long Mail’ dan ‘Pak Ngah Hisham’ lakukan, figura ini hanyalah semata-mata untuk menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa wabak Covid-19 ini.

Apa-apa pun, bagi penulis ujian sebenar buat rakyat Malaysia bermula pada jam 12.00 tengah malam ini selepas orang ramai diberi kebebasan untuk melintas negeri tanpa sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa.
Buat orang awam, pengumunan perdana menteri itu adalah khabar yang dinanti-nanti dari kerajaan selepas hampir tiga bulan selepas pelaksanaan PKP dan PKPB sebelum ini.
Apa yang pasti, ramai diantara kita mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung masing-masing selepas tidak benar buat demikan termasuk syawal baru-baru ini kerana pelaksanaan PKP dan PKPD.
Selain kesesakan lalu lintas di lebuh raya utama di Malaysia pada minggu ini, apa yang menjadi kebimbangan penulis adalah penularan kembali wabak Covid-19 jika tiada langkah berjaga-jaga diambil oleh orang awam.
Seperti kata ‘Pak Ngah Hisham’ dalam sidang akhbar petang tadi memberitahu penguatkuasaan PKPP mulai esok, adalah ujian sebenar terhadap tahap disiplin kendiri dan sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Katanya, ketiadaan kes baharu Covid-19 membabitkan warganegara, hari ini, adalah pencapaian yang boleh dibanggakan selepas pelbagai usaha dilaksanakan bersama oleh semua pihak dengan menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.
Namun, beliau turut memperingatkan agar masyarakat harus kekal berwaspada dan terus mematuhi SOP serta saranan ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan komuniti setempat.

Tambahnya lagi, penguatkuasaan PKPP yang akan bermula esok adalah ujian sebenar terhadap tahap disiplin kendiri dan sosial dalam kalangan masyarakat.
Dr Noor Hisham turut berharap orang awam dapat membantu untuk terus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia.
Harapan Pak Ngah Hisham itu bukan pekara kecil kerana ia juga impian penulis dan orang awam di Malaysia agar negara kita ini bebas daripada wabak Covid-19 ini.
Apa yang penting adalah untuk kita jaga diri kita walaupun dimana juga berada termasuk ketika berada di kampung halaman nanti.
Ambil langkah berjaga-jaga selain pakai pelitup muka dan membasuh tangan dengan sabun kerap dimana juga anda berada seperti diminta oleh Abah, Pak Long Mail dan Pak Ngah Hisham untuk menjaga keselamatan dan kesihatan anda.
Teruskan dengan kawalan kendiri untuk memastikan keselamatan diri serta keluarga kerana penulis yakin kita mampu melakukannya bersama! – MBNews