PKPP: Pasukan petugas khas pantau SOP

0
97
Ismail Sabri

CYBERJAYA – Pasukan petugas khas operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan memberi tumpuan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu tidak lagi mengadakan pemeriksaan di sekatan jalan raya tetapi memberi perhatian di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya dan pasar awam.

“Tiada lagi kawalan pergerakan rentas negeri tetapi SOP masih ada. Misalnya, orang ramai dibenarkan gunting rambut dan cuci muka tetapi kita sudah tetapkan SOP, pasukan petugas khas ini akan memeriksa sama ada mereka mengikut SOP atau tidak.

“Rakyat kena patuhi SOP dan bagi premis yang ingkar, perniagaan akan ditutup. Pelanggan yang gagal patuhi SOP akan dikenakan tindakan seperti biasa iaitu denda RM1,000 dan boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat berulang-alik ke Singapura bagi urusan pekerjaan, selepas mengambil maklum pembukaan semula ekonomi di republik berkenaan.

Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia juga bersedia untuk menjalankan ujian Covid-19, jika diperlukan kerajaan Singapura.

“Kerajaan mengambil maklum bahawa sektor industri di Singapura sudah bermula operasi dan meminta kebenaran supaya pekerja mereka yang berwarganegara Malaysia untuk berulang-alik ke Singapura.

“Jadi, mesyuarat khas bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia berulang-alik atas urusan kerja dan bersedia menjalankan ujian Covid-19, jika diperlukan negara berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here