
CYBERJAYA – PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menjangkakan aliran trafik di semua lebuh raya kendaliannya akan melonjak hingga 15 peratus bermula Jumaat hingga Ahad ini
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa Rabu ini.
Katanya, jangkaan lonjakan trafik itu, berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung masing-masing, susulan kelonggaran perjalanan rentas negeri diberikan kerajaan sepanjang PKPP.
“PLUS sebelum ini, menyaksikan kadar penurunan trafik agak mendadak di semua rangkaian lebuh rayanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pada 18 Mac lalu.
“Namun, jumlah berkenaan mencatatkan peningkatan konsisten sejak Hari Raya Aidfilfitri hingga kini.
“Sebanyak satu juta kenderaan dicatat menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS pada hari biasa dan penurunan sebanyak 20 peratus pada hujung minggu,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula Rabu ini hingga 31 Ogos depan, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pelaksanaan PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri selain beberapa aktiviti dilarang ketika PKPB yang akan berakhir esok.
Serentak pelaksanaan PKPP, Azman memberitahu, kesemua kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya kendalian PLUS akan dibuka kepada pengguna.
“Pembukaan semua kemudahan di R&R berkenaan dibuat dengan menerapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan penjarakan sosial terus dipatuhi.
“Semua gerai R&R termasuk tempat makan dibuka mulai 15 Jun ini, selain PLUS akan menjalankan kerja pembersihan menyeluruh di semua R&R sebagai langkah tambahan bagi kerja pembersihan berjadual, antara 12 hingga 14 Jun ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, transaksi langsung bagi urusan tambah nilai di lorong perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go tidak disediakan bagi membendung penularan Covid-19.
“Kita juga sedang memuktamadkan pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol sistem tertutup di semua lebuh raya kendalian PLUS untuk keselesaan pelanggan pada masa akan datang dengan pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya membuat urusan tambah nilai di lebih 11,000 pusat disediakan sebelum menggunakan lebuh raya,” katanya. – MBNews