
CYBERJAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tiada keperluan untuk pihak polis melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula Rabu ini.
Beliau berkata, namun begitu pihak polis sedang memperhalusi butiran pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan PKPP hari ini.
“Pihak saya sedang memperhalusi butiran pengumuman Perdana Menteri tadi. Insya-Allah menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu.
“Buat masa ini, SJR sepanjang tempoh PKPP jelas sudah tidak ada keperluannya lagi kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri sebentar tadi mengumumkan bahawa PKPP akan bermula Rabu ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat Selasa ini.
Menerusi pelaksanaan PKPP itu membolehkan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, beliau juga akan berbincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera Masyarakat (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.
“Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada arahan penjarakan sosial. Kita mesti ingat bahawa kemenangan melawan Covid-19 masih belum muktamad,” katanya.-MT