
SYUKUR Alhamdulillah sejak beberapa hari lalu kes baharu Covid-19 semakin terkawal tanpa sebarang kenaikan mendadak. Malah, hari ini hanya tiga kes baharu dicatatkan.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan kira-kira dua minggu lalu, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan orang awam jika kes baharu Covid-19 akan meningkat semula.
Tetapi jangkaan tersebut ternyata meleset dan aktiviti harian orang ramai mula kembali kepada asal. Hampir semua sektor ekonomi dibuka semula.
Masjid-masjid juga sudah boleh menerima kehadiran jemaah yang ramai berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Mac lalu.
Bagi menjamin situasi asal ini terus berkekalan kerajaan juga telah menggariskan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh orang ramai.
Malangnya, sejak kebelakangan ini SOP berkenaan sudah semakin diketepikan. Malah, ada yang berani pula mempersoalkannya.
Jika sebelum ini untuk masuk ke kedai-kedai, pelanggan perlu diperiksa suhu badan, menulis nama di buku dan mencuci tangan dengan pencuci cecair tapi kini hampir semua sudah diabaikan.

Bagi pihak pelanggan pula, ada yang masih sukarela dengan menulis nama dan ‘menembak’ sendiri alat periksa suhu badan ke kepala masing-masing tapi tak kurang juga yang sudah malas berbuat demikian.
Apabila ditanya, alasan yang diberikan pekerja terbabit ialah tak cukup kakitangan.
Itu belum lagi sentuh mengenai sikap sesetengah pelanggan yang membakul sampahkan larangan merokok di restoran.
Tanpa segan silu, berbatang-batang rokok disedut tanpa menghiraukan pelanggan sekeliling. Putung dan debu rokok pula dibiarkan bersepah di atas lantai.

Nilai kebersihan yang setiap hari ditekankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan sudah mula diabaikan. Masing-masing sudah kembali kepada tabiat asal yang kurang berdisiplin dan suka mengotorkan tempat awam.
Jika keadaan ini berlarutan, jangan hairan sekiranya kes Covid-19 terus berada dalam komuniti, sama seperti kes deman denggi yang terus berada dalam masyarakat.
Kenapa kes demam denggi masih berlaku? Jawapannya mudah, kebersihan di kawasan rumah dan persekitaran diabaikan. Meskipun beribu kali diingatkan tapi masih ada yang suka mengotorkan kawasan sekeliling.
Jadi, jika tidak mahu merasa hidup dikuarantin selama 14 hari di hospital adalah lebih baik kita mengikut SOP ditetapkan dan menjaga kebersihan diri serta tempat awam.
Jangan nanti apabila sudah terhantuk baru terngadah.-MT