PM tak ‘puas’ khutbah Jumaat pendek sangat

0
546
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. (kanan) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (kiri) keluar dari Masjid Putra selepas menunaikan solat Jumaat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini hadir menunaikan solat Jumaat buat pertama kali di Masjid Putra di sini selepas lebih tiga bulan berikutan penularan Covid-19.

Beliau yang berpakaian baju kemeja dan bertopeng muka dilihat turut patuh kepada amalan prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat pemeriksaan suhu badan dan mengisi buku kehadiran.

Lokasi solat Jumaat itu merupakan pilihan utama Muhyiddin berikutan pejabatnya di Bangunan Perdana Putra terletak bersebelahan sahaja.

Sementara itu, tinjauan orang ramai mendapati para jemaah yang hadir sudah berwuduk dan membawa sejadah masing-masing.

Langkah itu diambil bagi mengelakkan risiko jangkitan dan mengelakkan kesesakan di bahagian tempat mengambil wuduk.

Sebagai langkah kesihatan, kehadiran para jemaah di masjid berkenaan yang bermula seawal pukul 11.30 pagi turut dipantau dengan pematuhan penjarakan sosial, memeriksa suhu badan dan diminta mencuci tangan menggunakan cecair pencuci sebelum memasuki masjid.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim ketika ditemui berkata, hari ini merupakan solat Jumaat kedua yang dibenarkan beroperasi di masjid tersebut.

Dalam pada itu, ditanya apakah maklum balas yang diberikan oleh Perdana Menteri, Ikmal Zaidi berkata, beliau meminta supaya khutbah Jumaat dipanjangkan.

“Perdana Menteri kata khutbah pendek tapi khutbah ini disediakan oleh Jabatan Dakwah bukan kita. Tapi takpa kita akan cuba perbaiki selepas ini.

“Mungkin dah lama tak dengar khutbah dan sebelum ini kita memang sudah biasa dengan khutbah yang agak panjang,” ujarnya sambil berseloroh.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here