Polis nafi dakwaan penyamun menyamar kakitangan KKM

0
241

CYBERJAYA- Gambar dan video tular di media sosial kononnya ada suspek samun menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan dan membuat pemeriksaan di kawasan Bukit Subang, Shah Alam sebenarnya tidak benar.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Tuan Baharudin Mat Taib berkata, ia ditularkan seorang orang awam di media sosial dengan penafsiran sendiri berdasarkan kehadiran sekumpulan individu dengan van klinik kesihatan dan memberi amaran kepada awam mereka suspek cuba menyamun.

Kata beliau, pihaknya telah menerima laporan polis berkaitan perkara itu semalam.

“Polis telah menjalankan siasatan terhadap gambar yang ditularkan dan mendapati ia merupakan salah faham di antara pengadu dan pihak yang hadir di lokasi rumah pengadu.

“Nombor pendaftaran yang diviralkan adalah salah dan tidak tepat sehingga dikatakan ia wujud kenderaan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tuan Baharudin, tiga orang individu terlibat disahkan sebagai kakitangan kementerian.

Justeru katanya, siasatan ke atas van yang digunakan mereka juga disahkan milik Kementerian Kesihatan Daerah Petaling.

“Pihak kementerian juga telah membuat laporan hari ini mengesahkan kehadiran pegawai KKM di lokasi bagi pemantauan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) Covid-19 pada 14 Jun pukul 2 petang.

“Pihak polis berharap semua pihak menghentikan sebarang penyebaran gambar dan viral berkaitan isu ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here