Polis siasat Hannah Yeoh, Siti Kassim kerana mempunyai kecenderungan menghasut

0
2302
Datuk Huzir Mohamad

CYBERJAYA – Polis mengesahkan melakukan siasatan ke atas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan peguam Siti Kassim berikutan kenyataan yang dibuat mereka mempunyai kecenderungan menghasut dan mengapikan mana-mana golongan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Huzir Mohamad berkata, siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5).

“Pada 11 Mac lalu satu siasatan telah dimulakan ke atas hantaran yang ditularkan akaun Facebook Hannah Yeoh kerana mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut dan mempunyai niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah sebelum ini mengeluarkan kenyataan seperti berikut: “Kenyatan tersebut: “Memandangkan Timbalan Menteri KPWKM adalah dari Pas, maka perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan bawah umur (bagi menghalalkan seks dengan kanak-kanak) akan berleluasaa selepas ini. Ini adalah penyakit Orang Islam di negara ini tidak bertamadun”.

Berikutan itu, menurut Huzir, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana kecenderungan menghasut, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, katanya, siasatan juga diklasifikasikan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau berkata, Hannah Yeoh akan dipanggil untuk direkodkan percakapannya bagi menjelaskan tentang kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni itu.

Menyentuh mengenai siasatan terhadap, pemilik akaun Facebook bernama Siti Kassim, katanya, ia berkaitan dengan satu hantaran yang bertajuk Pis Way of dealing with a Problem yang dimuat naik pada 27 Mei lalu.

Beliau berkata, siasatan itu dibuat ke atas Siti Kassim kerana mengeluarkan kenyataan yang sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

“Kenyataan pemilik akaun bernama Siti Kassim adalah berbunyi “…You want to ban alcohol just because it suits you? Then ban Thafiz Schools too for causing much damage to our innocent children. Get it pis?”.

“Siasatan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat boleh membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 AKMM 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.

Sementara itu, Huzir berkata, setakat ini sejumlah 113 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berkaitan isu tersebut.

Berikutan itu, katanya, pemilik akaun tersebut akan dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi menjelaskan kenyataan yang dibuat kerana ia sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here