PRK Chini: 156 kertas undi pos dikeluarkan

0
92
Datuk Azhar Azizan Harun

CYBERJAYA – Sebanyak 156 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), semalam.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, pengeluaran kertas undi tersebut yang bermula pada pukul 2.30 petang dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Komuniti, Majlis Daerah Pekan.

“Kesemua 156 permohonan undi pos tersebut terdiri daripada kategori Borang 1A (petugas pilihan raya).

“Tiada pengundi tidak hadir (PTH) luar negara dan permohonan undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada parti Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, katanya, SPR juga telah menjemput seorang wakil pemerhati yang dipilih daripada kalangan pemerhati-pemerhati yang telah dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos tersebut.

Pada masa sama, katanya, proses tersebut turut disiarkan secara langsung di Facebook SPR bagi tujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

Sementara itu, Azhar berkata, sebanyak 155 sampul keutamaan telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit manakala satu lagi sampul
keutamaan telah diserahkan oleh pegawai engurus kepada pengundi melalui serahan tangan pada hari yang sama.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos, supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2) yang disertakan, serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN Chini, Pahang sebelum pukul 5.00 petang pada hari mengundi, 4 Julai ini.

“Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here