PRK DUN Chini: PKR tidak letak calon

0
189
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

CYBERJAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini akan menyaksikan PKR tidak meletakkan calonnya di kerusi tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut diambil berikutan mengambil kira wabak Covid-19 yang masih belum ditangani sepenuhnya.

Beliau berkata, pihaknya bimbang tentang keselamatan dan kesihatan para pengundi walaupun prosedur operasi standard (SOP) berhubung perjalanan pilihan raya sedang dirangka.

“Maka, mengambil kira perkara-perkara di atas, PKR dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Chini,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan portal Malaysia Gazette hari ini.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa 20 Jun ini adalah tarikh penamaan calon manakala pengundian awal diadakan 30 Jun dan hari mengundi pada 4 Julai.

Tambah Saifuddin, PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

Beliau berkata, sebagai contoh, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti dan pihaknya masih belum maklumkan tentang prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here