Pulau Pinang tiada kuasa lanjutkan PKPB

0
829
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hairan dengan keputusan yang mahu diambil oleh Pulau Pinang untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, ini kerana akta di bawah PKPB akan terbatal esok.

Beliau berkata, akta berhubung kawalan penyakit berjangkit hanya terdapat di peringkat Persekutuan sahaja kecuali Sarawak, yang masih mempunyai akta tersebut.

“Negeri-negeri lain tiada akta kawalan penyakit berjangkit jadi hanya ada satu akta sahaja untuk menjadi rujukan semua negeri di Malaysia (kecuali Sarawak) berhubung perkara tersebut iaitu Akta 342.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, mana-mana akta yang bertentangan dengan akta Kerajaan Persekutuan, ia akan terbatal dengan sendiri dan tidak boleh dilaksanakan.

“Dengan itu, kerajaan negeri tidak ada pilihan lain selain akur dengan pelaksanaan PKPP seperti yang telah diumumkan kerajaan Persekutuan, jika tidak, mereka tidak boleh melaksanakan sebarang penguatkuasaan kerana tiada akta,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeon berkata, kerajaan negeri akan meneruskan PKPB sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan berhubung pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun dalam satu kenyataan baharu yang dimuat naik dalam laman Facebook Ketua Menteri Pulau Pinang itu, beliau memaklumkan bahawa Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP seperti diumumkan Perdana Menteri semalam.

Bermula Rabu ini, peraturan-peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan diwartakan dan dikuatkuasakan di bawah Akta 342.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here