
CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna melalui Program e-Penjana.
Perdana Menteri berkata, program tersebut yang bernilai RM750 juta bertujuan menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa sentuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet.
“Inisiatif ini yang akan bermula pada bulan Julai ini dan akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, bagi menggalakkan rakyat supaya menyokong produk dan perkhidmatan tempatan, kerajaan juga akan meneruskan kempen ‘Buy Malaysia’.
Beliau berkata, antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah menggalakkan rangkaian pasar raya besar untuk membuat penandaan produk tempatan dan juga menubuhkan saluran produk Malaysia yang berdedikasi di platform e-dagang.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, dalam usaha untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dunia, kerajaan akan mengumumkan beberapa pakej dan program pelaburan, insentif pengecualian cukai dan kemudahan pembiayaan yang inklusif.-MT