Sambung meja di restoran dibenarkan

0
195

Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan tidak melarang mana-mana restoran untuk menambah bilangan orang yang boleh berada di meja makan dalam satu-satu masa tetapi dengan syarat mesti mengamalkan penjarakan sosial.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan itu orang ramai tidak perlu keliru mengenai bilangan orang yang boleh berada di meja makan.

“Kita dengar sebelum ini, apabila kita hadkan empat orang berada di satu meja. Ada yang datang enam orang daripada satu keluarga dan juga dari rumah yang sama maka pengusaha restoran pecahkan kerana mematuhi peraturan.

“Walaupun mereka satu keluarga, mungkin empat di satu meja dan dua lagi di satu lagi meja. Jadi, kita bersetuju kalau ada enam orang dan sebelum ini guna dua meja dan kini ia boleh disambung (dekatkan meja) untuk duduk bersama tetapi yang penting penjarakan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, paling penting adalah penjarakan sosial satu meter mesti dikekalkan bukannya pengasingan meja dalam restoran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 8,703 operasi sanitasi merangkumi 134 zon telah dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, sebanyak 12,289 premis telah disanitasi yang mana terdiri daripada 2,672 pusat perniagaan, 5,185 bangunan kerajaan, 1,588 kawasan perumahan termasuk projek perumahan rakyat (PPR), 2,490 tempat awam dan 354 pasar raya.

“Semalam sahaja, sebanyak 70 operasi sanitasi meliputi 43 Zon di 11 buah negeri antaranya Sarawak (19 operasi), Melaka (14 operasi) dan Sabah (10 operasi) telah dilakukan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here