
CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban pada hujung bulan hadapan akan dibenarkan dilakukan selepas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan perintah sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, namun begitu, orang ramai khususnya umat Islam masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa agama Islam.
“Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai PKPP.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, bagi sesi persekolahan pula ia akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dalam tempoh pemulihan itu beberapa kelonggaran juga diberikan seperti waktu operasi perniagaan yang akan kembali seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, pemilik premis dan pelanggan tetap tertakluk kepada pelaksanaan kebiasaan baharu yang melibatkan penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan sabun.-MT