
CYBERJAYA – Kempen membeli produk Muslim (BMF) sebenarnya perlu diteruskan tanpa mempunyai perasaan ragu-ragu.
Seorang guru dari Melaka, Hafizuddin Hishamudin, 29, berkata, sebagai pengguna Islam seharusnya bangga melihat ramai usaha Muslim mempunyai produk sendiri yang halal.
Menurutnya, sampai bila pelanggan hendak membeli produk luar sedangkan produk-produk Muslim jauh lebih baik dan terbukti halal.

“Apakah bukti produk-produk di luar yang mempunyai tanda halal itu benar-benar halal.
“Contoh di Malakat Mall, walaupun baharu pertama kali menjejakkan kaki di sini, saya gembira melihat produk -produk baharu (produk Muslim) dikumpulkan dan dijual di sini,” katanya.
Katanya lagi, orang Islam sebenarnya perlu bangkit mempromosikan segera produk Muslim dan halal supaya dapat bersaing dengan produk-produk luar.
Beliau turut mencadangkan produk-produk baharu dan halal itu terus dipromosikan secara meluas bagi membantu ekonomi mereka.

Bagi pelanggan dari Semenyih, Nurul Nailah Zailani, 26, pula menyatakan perasaan terujanya apabila kerajaan membenarkan hampir semua premis beroperasi.
Katanya, dia dan keluarga mengambil keputusan untuk singgah ke pusat beli belah Malakat Mall untuk meninjau produk-produk Muslim yang dijual di situ.
“Sebelum ini selalu dengar orang cerita sahaja mengenai produk-produk Islam yang jarang kita nampak.
“Bila datang sini terutama di Raudhah Grocer, banyak rupanya produk orang kita yang ada tanda halal,” katanya.

Bagi seorang lagi pelanggan, Roslina Said, 51, berkata, dia tertarik melihat sendiri suasana pusat beli belah Muslim selepas menonton satu rancangan khas di sebuah stesyen televisyen baru-baru ini.
Katanya, Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim sendiri mengajak orang ramai sokong produk-produk Muslim.
“Jadi tempoh Perintah Kawalan Pergerakaan Pemulihan ( PKPP) bermula hari ini (semalam) saya ajak keluarga singgahlah.
“Tak sangka banyak produk Islam yang patut kita tukar dan beli tanda kita sokong produk mereka,” katanya.