‘Scammer’ menyamar pegawai LHDN aktif kembali

0
963
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan atau scammer yang menyamar sebagai pegawai agensi tersebut dengan cuba menipu mangsanya menerusi panggilan telefon.

Menurutnya dalam satu kenyataan, sindiket itu yang kembali aktif sejak akhir-akhir ini antaranya menggunakan modus operandi seperti memaklumkan kepada mangsanya bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan.

“Mangsa kemudiannya dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai dengan membuat pindahan ke akaun bank bukan milik LHDN.

“Mangsa juga menerima panggilan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya hari ini.

Katanya lagi, mangsa tersebut kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa.

“Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun miliknya dibekukan, mangsa diarahkan untuk memindahkan baki akaun ke akaun pihak ketiga.

“Segelintir mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, lebih membimbangkan apabila mangsa menerima panggilan daripada ‘pegawai’ LHDN yang menggunakan nombor telefon mirip nombor telefon agensi itu dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak daripada syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, mesej, e-mel mahupun surat yang meragukan daripada LHDN.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dengan LHDN melalui panggilan ke Hasil Care Line, Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDNM atau hadir ke cawangan LHDNM yang berdekatan.

“Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan, jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan dan pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDN.

“Selain itu, jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali dan jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali. Semak nombor telefon LHDN di portal rasmi LHDN,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here