Sekolah diberi kebebasan dalam pelaksanaan SOP Covid-19

0
261
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali pada sidang akhbar semasa melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) sempena hari pertama persekolahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – Gambar / Farid Janudin

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi kepercayaan penuh kepada pihak sekolah di seluruh negara dalam pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, selain daripada pematuhan asas SOP, pihak sekolah diberi kelonggaran dalam pelaksanaan langkah-langkah yang dirasakan perlu dalam mencegah Covid-19.

“Kementerian memberi kebebasan kerana ada perbezaan antara sekolah, terutama di bandar dan luar bandar.

“Dan jika ada kekangan dalam pelaksanaan SOP ini, pihak sekolah yang berkenaan boleh menghubungi pihak kementerian,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Menengah Putrajaya Presint 11 (1) hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali,
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad dan Pengetua sekolah Siti Norbaya Mansor.

Sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 5 dan 6 bermula hari ini selepas hampir tiga bulan diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan pandemik Covid-19.

Dr. Azmi memuji pengurusan Sekolah Menengah Putrajaya Presint 11 (1) yang memperkenalkan kaedah tempahan makanan tanpa memerlukan pelajar beratur di kantin.

“Saya memuji persiapan SOP sekolah ini yang dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Harapan saya supaya para pelajar dan guru akan konsisten dalam pematuhan SOP ini,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, KMM akan menutup sekolah sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangannya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan akan menganalisa kesan pembukaan semula persekolahan dan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here