Sekolah swasta, pusat tahfiz dibenarkan beroperasi semula

0
371
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan institusi pendidikan swasta dan sekolah-sekolah pendidikan khas beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut diberikan kebenaran untuk beroperasi ialah pusat-pusat tuisyen.

“Bagaimanapun, perincian berkenaan tarikh dan prosedur operasi standard (SOP) akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan juga bersetuju supaya surau-surau di sekolah diberi kebenaran untuk digunakan sewaktu sesi persekolahan dan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial.

Dalam pada itu, katanya, sekolah dan madrasah tahfiz juga dibenarkan beroperasi semula berdasarkan tarikh pembukaan sekolah-sekolah yang akan diumumkan oleh KPM tidak lama lagi.

“Sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar sahaja dibenarkan dibuka dan perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KPM.

“Sekolah dan madrasah tahfiz yang mempunyai kemudahan asrama perlu mengikut SOP sekolah asrama yang ditetapkan.

“Bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar perlu membuat permohonan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama negeri,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here