Selepas Covid-19, kini muncul ketakutan akibat ‘bil TNB’

0
498

Gambar hiasan. Sumber foto Facebook TNB Careline

SEJAK minggu lalu buka sahaja laman sosial pasti akan ada yang meluahkan kekecewaan mengenai kadar bil elektrik di rumah masing-masing yang disifatkan sebagai mengejutkan dan tidak masuk akal.

Selepas baru pulih daripada bahaya ancaman Covid-19, sekarang rakyat terpaksa berhadapan dengan ketakutan baharu.

Manakan tidak, ada rumah yang bil elektriknya mencecah tiga kali ganda daripada kebiasaan dan ada pula bil mereka sebelum ini hanya tiga angka tapi kini melangkaui empat angka. Kalau ada penyakit lemah jantung, habislah.

Di mana silapnya? Rata-rata pengguna yang terkejut melihat bil melambung tinggi menyalahkan TNB di atas kegagalan pekerja mereka tidak datang mengira meter ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

TNB antara sektor yang dibenarkan beroperasi ketika PKP

Bagi pihak TNB pula, meskipun mereka tidak menyalahkan pengguna secara langsung, kaedah jawapan mereka berikan sudah cukup memberi jawapan bahawa bil elektrik yang melambung adalah disebabkan pengguna itu sendiri.

Memang benar, sepanjang tempoh PKP, 24 jam ahli keluarga berkumpul di rumah. Jadi sudah pasti segala jenis barang elektrik akan berfungsi 24 jam dan kadar penggunaannya juga berkali-kali ganda dari hari biasa.

Apa lagi pilihan pengguna ada selain menggunakan peralatan elektrik 24 jam? Jadi di atas faktor inilah pengguna meminta jasa baik TNB, menteri berkenaan, Suruhanjaya Tenaga, kerajaan, ahli Kabinet dan Perdana Menteri memandang serius isu ini.

Orang ramai tidak minta bulan dan bintang, cukuplah jika kerajaan memberikan diskaun yang ‘significant’ bagi menyelesaikan isu ini.

Malah, rakyat juga tidak mahu menyusahkan diri dengan membawa isu ini ke Tribunal Tuntutan Pengguna. Sangat melecehkan.

Yang rakyat mahu ialah penyelesaian segera dan menang-menang. Jika tidak, isu ini akan terus diungkit bagi memperlekehkan kerajaan masa kini sebagai tidak menghayati denyut nadi rakyat.

Suka atau tidak isu bil elektrik terlalu tinggi bukan sahaja ‘ditroll’ di sana dan sini malah ia juga sudah menjadi bahan jenaka politik.

Sudah pasti kerajaan sekarang yang sudah mendapat kepercayaan majoriti rakyat dalam menangani isu Covid-19, tidak mahu menanggung beban defisit kepercayaan hanya disebabkan isu bil elektrik.

Sebelum keadaan menjadi bertambah kusut, adalah lebih baik kerajaan menangani isu ini segera.

Meminjam kata-kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani era Barisan Nasional (BN) dahulu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek:

“Keadaan luar biasa menuntut langkah yang luar biasa. Jangan menang tempur tapi kalah perang”.

Wasalam…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here