Seludup PATI: ATM sahkan penahanan dua pegawai, tiga anggotanya

0
579
Jeneral Tan Sri Affendi Buang

CYBERJAYA – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengesahkan penahanan dua pegawai dan tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor, pada 4 Jun lalu.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terbabit dalam melakukan apa jua kegiatan jenayah.

Katanya, ketegasan itu penting kerana ia mencerminkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

“ATM juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut supaya mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan sindiket penyeludupan PATI ini dapat ditangani sepenuhnya.

“Penahanan mereka ini juga menunjukkan, keberkesanan Operasi Benteng, di bawah pengawasan National Task Force (NTF),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mendedahkan penahanan 18 penguatkuasa membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM, susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI.

Ayob Khan berkata, hasil siasatan awal mendapati 18 penguatkuasa berkenaan bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan PATI dalam menyalurkan maklumat termasuk operasi yang dijalankan pihak berkuasa negara ini sekali gus menjadi dalang kebocoran maklumat dalaman.

Sementara itu, Affendi berkata, tindakan itu juga membuktikan kesepaduan agensi keselamatan dan penguatkuasaan, bukan sahaja dapat memperkukuhkan kawalan operasi persempadanan negara, malah turut memperkasakan ketelusan dan nilai integriti terutama dalam kalangan pegawai dan anggota ATM.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here