Semua kakitangan, 600 banduan Penjara Sungai Buloh jalani ujian Covid-19

0
229

CYBERJAYA – Kerajaan hari ini telah memulakan ujian saringan Covid-19 terhadap kira-kira 600 banduan di Penjara Sungai Buloh termasuk 100 orang kakitangan penjara berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian saringan melibatkan banduan hanya dilakukan di salah satu daripada lapan blok kediaman penjara.

“Ujian hanya dilakukan di blok yang mempunyai kes positif sahaja kerana mereka (banduan) tidak bercampur dengan penghuni blok lain.

“Bagaimanapun kita akan melakukan ujian kepada semua kakitangan penjara itu kerana mereka bekerja di semua blok penjara,” katanya pada sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian bagi mengulas kemungkinan kerajaan melakukan ujian Covid-19 di semua penjara bagi membendung penularan wabak tersebut.

“Kita ambil pendekatan sama seperti ujian yang dilakukan di depoh tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan hanya melakukan ujian di depoh Semenyih, Bukit Jalil dan KLIA,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan sejak daripada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi tidak membenarkan lawatan bertemu banduan di penjara.

Sementara itu katanya, warga Rohingya yang dilaporkan melarikan diri dari pusat kuarantin di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Tanjung Rambutan di Perak, pagi Ahad sudah ditangkap dan dimasukkan ke hospital. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here