Sengaja rosakkan bot, 269 PATI Rohingya ditahan di Langkawi

0
1311
Sebahagian PATI Rohingya yang ditahan NTF di Langkawi, Kedah, semalam. – Gambar Media Sosial

CYBERJAYA – Seramai 269 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya ditahan manakala seorang PATI wanita meninggal dunia apabila menceroboh perairan negara di Langkawi, Kedah awal pagi semalam.

National Task Force (NTF) Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, pada pukul 10.30 malam 7 Jun lalu, Pegawai Pemerintah Maritim Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat terdapat cubaan menceroboh perairan Langkawi oleh bot PATI Rohingya.

Tambah kenyataan itu, sebuah bot RH 9 dari Pasukan Polis Marin dan Kapal Maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diatur gerak ke kawasan terlibat melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran. 

Menurut kenyataan itu, pada pukul 5 pagi semalam, KM Kimanis berjaya mengesan lokasi serta memintas bot tersebut di perairan Langkawi dan bersedia melaksanakan proses pengusiran bot tersebut ke perairan antarabangsa. 

“Ketika KM Kimanis menghampiri bot tersebut seramai 53 PATI Rohingya terjun ke laut berenang menuju ke pantai dan kesemua mereka berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia yang bersedia di daratan. 

“Semasa pemeriksaan ke atas bot dijalankan didapati seramai 216 PATI Rohingya dan seorang mayat PATI wanita ditemukan di dalam bot tersebut. 

“Pemeriksaan juga mendapati kesan bot telah sengaja dibocorkan dan enjin bot tersebut juga mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaiki,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kerosakan dialami oleh bot tersebut menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan. 

“KM Kimanis memberikan bantuan berupa makanan dan air bersih yang secukupnya kepada PATI berkenaan. 

“Atas dasar kemanusiaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi,” ujar kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, kesemua 269 orang PATI kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi manakala  mayat wanita tersebut diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut. 

Dalam pada itu kenyataan itu memberitahu, NTF yang melaksanakan Op Benteng secara bersepadu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Maritim Malaysia dan agensi penguatkuasaaan serta keselamatan lain komited dalam memastikan sempadan perairan dan daratan negara tidak dicerobohi oleh PATI atau anasir asing.

“Sehingga 7 Jun lalu, seramai 396 PATI, 108 tekong dan 11 penyeludup telah ditahan manakala seramai 140 PATI, enam tekong dan 22 bot diusir ketika cuba mencerobohi sempadan negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu,  masyarakat digesa memberi kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan aktiviti anasir asing sama ada melibatkan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Mereka boleh  menghubungi hotline Pusat Operasi NTF ditalian  011-6251 1223. Kerjasama daripada semua pihak amat dihargai dalam usaha memastikan operasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujar kenyataan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here