Sentiasa berwaspada, Covid-19 masih wujud dalam komuniti

0
200
NOOR HISHAM

CYBERJAYA – Anggota masyarakat diminta sentiasa berwaspada kerana ancaman wabak Covid-19 masih nyata dan wujud.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar beliau hari ini berkata, masyarakat perlu sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan perebakan wabak ini.

“Sentiasa patuh pada arahan dan sentiasa amalkan budaya hidup bersih.

“Kita semua harus sedar bahawa ancaman Covid-19 masih wujud dalam masyarakat,” kata Dr. Noor Hisham.

Bagi hari ini, sebanyak 15 kes jangkitan baharu dilaporkan, dengan 13 kes merupakan jangkitan tempatan dan majoriti kes berada di Negeri Sembilan (12) melibatkan individu bukan warganegara dalam kluster Pedas.

Satu lagi kes jangkitan tempatan dikesan di Kuala Lumpur, dan juga melibatkan individu bukan warganegara.

Dua lagi kes merupakan kes import.

Secara keseluruhannya, kes positif yang telah dilaporkan di dalam negara berjumlah 8,587.

Dalam pada itu, sebanyak 21 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini, menjadikan angka keseluruhan yang telah didiscaj kepada 8,177.

Setakat ini, terdapat 289 kes masih dikategorikan aktif dan mempunyai kebolehjangkitan sedang dirawat di hospital, dan daripada jumlah itu, dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Tiada angka kematian dilaporkan, dan jumlah keseluruhan kes kematian kekal sebanyak 121 kes setakat hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here