
CYBERJAYA- UMNO menyambut baik saranan agar semua pihak memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Pahang.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, saranan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu dapat direalisasikan atau tidak akan diketahui pada hari penamaan calon pada 20 Jun ini.
“Pada tarikh tersebut, kita akan mendapat tahu sama ada calon BN yang akan mempertahankan kawasan yang dimenangi pada PRU 14 yang lalu bakal dicabar atau sebaliknya.
“Apa pun keputusannya pada 20 Jun itu nanti, kita ingin tegaskan bahawa sama ada PRK DUN Chini akan ada pertandingan atau tidak, jentera kita di semua peringkat tetap bersiap saga.
“Kita akan terus bersiap siaga dan melakukan apa jua persedian awal yang diperlukan kerana dalam politik ini apa jua kemungkinan boleh berlaku.
“Dalam kata mudah PRK Chini ini bagi kita, datang tidak berjemput, pergi tidak dihalang… kita akan sentiasa terus bersedia sedia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahril, saranan untuk semua pihak agar memberi laluan kepada calon BN untuk menang tanpa bertanding bukanlah sama sekali bermakna UMNO cuba menafikan sistem demokrasi di negara ini.
“Tetapi, berdasarkan beberapa faktor terkini yang seharusnya semua pihak sepatutnya memberi fokus kepada yang lebih utama seperti penularan wabak pandemik Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara.
“Pada masa yang sama, kita turut menyambut baik keputusan yang dibuat PKR hari ini yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka tidak akan meletakkan calon mereka untuk bertanding pada PRK DUN Chini,” katanya.-MT