
CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memang berhasrat untuk membenarkan sektor berkaitan perkhidmatan urut dan refleksologi kembali beroperasi namun perlu melihat prosedur operasi standard (SOP) yang boleh diguna dengan lebih teliti sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurutnya, pihaknya akan menyiapkan SOP berkaitan perkhidmatan itu sebelum membentangkannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita telah bukan kedai gunting rambut dan salon, kita juga melihat sektor lain. Yang pasti kalau sampai ke penghujung PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kalau boleh kita nak buka semua sektor dan nak pastikan jumlah kes tidak meningkat.
“Kalau boleh kita nak kekalkan satu atau dua angka dan kalau boleh, kalau kita dapat turunkan lagi kes, kita akan buka lebih banyak sektor. Kita kena seimbangkan antara kedua-dua perkara itu,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan pelbagai pihak dalam memperkemaskan SOP itu dan mungkin akan membentangkannya kepada MKN pada minggu depan.-MBNews