SOP ketat perkhidmatan gunting rambut bermula 10 Jun

0
220
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Perkhidmatan gunting dan dandanan rambut dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membuat keputusan itu setelah mengambil kira sumbangan sektor itu dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM13.5 bilion setahun.

Tambah beliau, selain itu sektor tersebut melibatkan 74,500 tenaga kerja daripada 16,728 perniagaan berdaftar.

“Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang berlangsung hari ini.

“Aktiviti yang dibenarkan  gunting rambut asas, cuci rambut asas, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, manicure dan pedicure serta cuci dan rawatan muka.

“Bagi golongan yang berisiko iaitu individu yang berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji tanpa kehadiran pengunjung daripada kumpulan umur lain,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Beliau menambah, bagi kanak-kanak beruisa bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti pelitup muka dan apron pakai buang.

Beliau berkata, pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

“SOP ditetapkan juga memerlukan pekerja memakai pelindung muka, apron pakai buang selain sarung tangan berbeza bagi setiap pelanggan,” jelasnya.

Beliau berkata, pengusaha juga perlu memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here