
Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
CYBERJAYA – Berita baik buat ibu bapa apabila Kementerian Kesihatan akan membentangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, apa yang penting pihaknya akan menitik beratkan isu keselamatan di TASKA dan memberi keutamaan kepada kanak-kanak yang ibu bapanya berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan.
“Kita juga akan melihat bagaimana untuk meningkatkan TASKA di hospital di bawah kementerian.
“Setakat ini kita sudah ada sebanyak 112 TASKA dan pihak kita sudah memohon untuk tingkatkan lagi jumlah TASKA di semua hospital menjadikan ia sebanyak 146.
“Bila sudah tingkatkan jumlah TASKA itu, kita harap ia dapat beroperasi secara dua syif kerana pegawai barisan hadapan juga bekerja secara syif,” katanya. – MBNews