SPR pamerkan 80,766 permohonan daftar pemilih baharu

0
255
AZHAR AZIZAN HARUN

CYBERJAYA – Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) akan dipamerkan di 915 tempat pameran di seluruh negara mengandungi 80,766 pemohonan pendaftaran pemilih baharu warganegara yang layak selama 14 hari bermula esok hingga 2 Jun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, selain jumlah tersebut sebanyak 18,989 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon sepanjang tempoh antara 1 Januari hingga 31 Mac lalu.

Menurut beliau,  semakan RDPT boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti hadir ke 915 tempat pameran RDPT di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

Tambah beliau, mereka juga boleh melayari portal rasmi Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT yang disediakan.

“Bagi Pameran RDPT, SPR tidak meletakkan salinan buku atau ‘hardcopy’ di 915 tempat-tempat pameran, sebaliknya hanya meletakkan sehelai notis bersaiz A4 yang mengandungi Kod QR RDPT bagi bahagian pilihan raya parlimen yang berkenaan sahaja.

“Kaedah ini untuk mengelakkan orang ramai menyemak nama dalam RDPT dengan menyentuh buku RDPT yang seterusnya boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azhar, semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT dan sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B. 

Jelas beliau, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT menerusi satu-satu bahagian pilihan raya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

“Borang B dan C boleh dimuat turun dari portal Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

“Semasa tempoh Pameran RDPT, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” ujarnya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. 

“Pemohon juga boleh melayari portal SPR atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here