
CYBERJAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini mengumumkan perjawatan nama skuadron yang mengoperasikan Sukhoi Su-30MKM kepada No. 12 Squadron.
Perjawatan tersebut diumumkan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dalam perutusan beliau sempena sambutan Hari Tentera Udara ke-62, hari ini.
Kata beliau, nama No. 11 Squadron akan diperjawatkan kepada sebuah squadron baharu yang mengoperasikan pesawat tanpa pemandu (UAS).
Ackbal, bagaimanapun, tidak mengumumkan jenis UAS dan lokasi pangkalan di mana squadron tersebut akan beroperasi, dan berkata ia akan dimumumkan kelak.
Menurut portal Malaysian Defence, No. 12 Squadron yang diperjawatkan pada tahun 1975 mengoperasikan 16 buah pesawat F-5E di Pangkalan Udara Butterworth, dan dibubarkan pada pertengahan tahun 2000 apabila pesawat tersebut dibersarakan.
Dalam pada itu, No. 11 Squadron pula diperjawatkan pada tahun 1969 untuk mengoperasikan pesawat jet Avon Sabre sumbangan Australia dan dibubarkan sekitar era 70an apabila pesawat tersebut dikeluarkan daripada perkhidmatan.
Namun, squadron tersebut diperjawatkan semula pada era awal 80an apabila pesawat F-5 versi peninjau, RF-5E mula memasuki perkhidmatan, sehinggalah pesawat Su-30MKM memasuki perkhidmatan.