
CYBERJAYA- Kerajaan menetapkan murid yang bacaan suhunya melebihi 37.5 darjah Celcius tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah apabila sesi persekolahan dibuka mulai 24 Jun ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd. Radzi Md Jidin berkata, selepas suhu badan diambil, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang ditetapkan untuk ke kelas masing-masing.
Beliau berkata, di sekolah, murid akan diingatkan untuk menjaga kebersihan diri, terutama amalan mencuci tangan dengan kerap termasuk pada waktu rehat dan sebelum pulang ke rumah.
“Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan turun padang melawat sekolah secara rawak bagi memastikan memastikan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah dipatuhi.
“Pihak kementerian juga telah memulakan pemantauan terhadap sekolah. Saya dan pegawai kementerian akan hadir ke sekolah tanpa sebarang pemberitahuan awal.
“Perkara ini tidak diberitahu kepada pengetua dan guru besar, jadi kami ada peluang untuk singgah di mana-mana sekolah untuk memastikan semua sekolah bersedia jika ada yang tidak mematuhi SOP,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Radzi, pihaknya mempunyai masa selama dua minggu lagi ruang untuk perbaiki kelemahan sebelum sekolah dibuka.-MT